Selasa, 7 Disember 2010

Laporan Qurban: Bukti Cinta Sang Hamba


LAPORAN MAJLIS SAMBUTAN AIDILADHA 1431 H

Dengan bertemakan Bukti Cinta Sang Hamba, Biro Agama Islam dan Kerohanian Kelab UMNO Bandung Indonesia (KUBI) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Bandung (PKPMI-CB) dan Islamic Malaysian Association (IMAN) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 1431 Hijrah. Majlis yang disambut secara beramai-ramai oleh pelajar Malaysia yang menuntut di Bandung ini adalah acara tahunan kali ke-4.

Bersempena dengan Aidiladha, suatu forum telah diadakan pada 12 Noevember 2010 bersamaan 5 Zulhijah 1431 H di Teater A.3.3 Universitas Padjadjaran. Majlis bermula pada pukul 7.30 malam. Para panel yang hadir adalah Ustaz Rofiqi, Ustaz Sarifudin dan Saudara Fakhrul Radzi, Angkatan 2006 , telah membahaskan tentang tajuk ‘Mempersiapkan Generasi Islam, Pengorbanan yang Diperlukan’.

Beberapa biro telah diwujudkan bagi memastikan acara berjalan dengan lancar pada Majlis Sambutan Aidiladha nanti. Biro-biro ynag diwujudkan termasuklah Biro Acara, Logistik, Makanan, Pemotongan, Kebersihan, Tugas-tugas Khas, dan Multimedia dan Informasi. Setiap biro telah dipertanggungjawabkan kepada pelajar-pelajar tertentu. Oleh itu, pada 15 November 2010 pada pukul 4.00 petang telah diadakan ‘technical meeting’ di ruangan A5, Universitas Padjadjaran.

Bagi memenuhi tuntutan sunnah, suatu Majlis Iftar telah diadakan pada 16 November bersamaan 9 Zulhijah di ruangan A.4.1, Universitas Padjadjaran. Majlis bermula dari pukul 5.15 petang sehingga 8.00 malam. Pengisian majlis adalah berbuka puasa bersama, solat Maghrib berjemaah, penyampaian tazkirah oleh Saudara Lukman, Angkatan 2008 dan diakhiri dengan takbir.

Pada keesokan harinya, pada 17 November 2010 bersamaan 10 Zulhijah 1341 Hijrah, tibalah masa untuk acara kemuncak. Setelah menunaikan solat sunat Aidiladha, pada pukul 8.00 pagi, semua pelajar bergerak ke Puri Alpina, Jatinangor untuk upacara Qurban. Sebanyak 3 ekor kambing dan 3 ekor lembu telah dikorbankan pada tahun ini. Pelajar-pelajar telah bergotong-royong menyembelih, memotong dan memasak daging-daging tersebut untuk Majlis Sambutan Aidiladha yang bermula pada pukul 7.30 malam. Sebahagian besar daging yang lain diagihkan kepada fakir miskin di sekitar Jatinagor. Majlis turut diserikan dengan persembahan Voice of Ukhwah (VoU) yang dinanti-nantikan kemunculannya sekian lama.

Majlis pada tahun ini memahat kenangan manis dan berharga kepada semua yang hadir terutamanya pelajar Malaysia di sini. Bagi yang menunaikan ibadah pada tahun ini tiada harapan yang lebih besar dan bermakna selain mengharapkan qurban diterima di sisi Allah s.w.t. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan