Selasa, 7 Disember 2010

Bandung Games


Pada 8,9 dan 10 Oktober 2010, telah berlangsung Bandung Games 2010 yang diadakan di Universitas Pendidikan Indonesia, Bandung. Acara ini merupakan acara sukan yang pertama kali diadakan di Indonesia dengan penyertaan seluruh mahasiswa Malaysia yang menuntut di Indonesia. Seramai lebih kurang 2000 orang peserta telah menyertai acara ini termasuk mahasiswa-mahsiswa yang berasal daripada Indonesia.

Dengan bertemakan “Yuk Bersaing”, acara ini bertujuan untuk menyatukan seluruh mahasiswa Malaysia dan Indonesia selaku belia penerus bangsa dalam bentuk persaingan sihat di bidang olahraga. Acara ini diharapkan mampu menjadi platform untuk menjadikan belia-belia Malaysia dan Indonesia sebagai duta pendamaian antara dua negara ini.

Kelab Umno Bandung Indonesia telah turut sama terlibat secara aktif dalam menganjurkan acara ini. Pengerusi KUBI, Saudara Farhan Saroni telah terpilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Bandung Games 2010. Selain itu, semua ahli jawatankuasa KUBI dan ahli-ahli KUBI turut terlibat dalam usaha menjayakan acara ini.

Jumlah keselurahan pertandingan yang dianjurkan adalah sebanyak 10 pertandingan termasuklah pertandingan Futsal, Bola Jaring, Bola tampar, Bola Keranjang, Badminton, Boling dan Permainan Tradisional. Sebanyak 14 kontijen daripada seluruh Indonesia telah hadir dan sama-sama menjayakan acara ini.

Bandung Games 2010 dimulakan pada 8 Oktober 2010 dengan Majlis Perasmian dan Makan Malam. Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Ahmad Shabery Cheek. Majlis ini turut dihadiri oleh Wakil Gabenor Jawa Barat, Wakil Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Pengerusi Jawatankuasa Induk Bandung Games, Sekretariat Kelab Umno Luar Negara, Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, para penaja dan tetamu jemputan dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada Duta Bandung Games, Yuna yang dibawakan khas dari Malaysia dan persembahan daripada para mahasiswa.

Pertandingan-pertandingan sukan diteruskan pada hari berikutnya, pada 9 Oktober 2010. Para pelajar yang bertanding menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. Selain dari pertandingan sukan, panitia juga mengadakan ekspo jualan yang disertai oleh mahasiswa. Palang Merah Indonesia turut mengambil peluang untuk membuka ‘booth’ Derma Darah. Di samping bergembira, mahasiswa yang hadir turut dapat membuat kebajikan.

Acara diakhiri dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah pada 10 Oktober 2010 dengan perasmian penutupan oleh Wakil Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia. Kontijen Bnadung selaku tuan rumah pada tahun ini telah dinobatkan sebagai Juara Bandung Games 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan