Isnin, 4 Oktober 2010

Bantu tangkis tohmahan.

SEREMBAN - Seramai 10,000 pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di negara ini diminta menangkis tohmahan pihak-pihak tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan baik Malaysia-Indonesia apabila pulang ke negara asal mereka kelak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, golongan itu diharap dapat menceritakan keadaan yang sebenar berhubung layanan baik yang diterima mereka di negara ini, sama ada yang datang melanjutkan pengajian atau untuk mencari rezeki.

"Kita minta agar kumpulan berpengetahuan (pelajar Indonesia) ini untuk mencorakkan hubungan baik kita dengan Indonesia apabila mereka pulang ke tanah air mereka.

"Mereka ini boleh menceritakan perkara sebenar apa yang berlaku di sini. Jangan biarkan segelintir kumpulan tepi jalan yang mencorakkan atau menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara ini yang sudah lama terjalin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Ekspo Inovasi Islam 2010 (i-INOVA'10) anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian bagi mengulas tindakan provokatif sekumpulan rakyat Indonesia yang mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia sejak beberapa minggu lalu.

Penunjuk perasaan terbabit sebelum ini pernah bertindak melampau dengan membakar bendera Malaysia dan melemparkan najis ke arah Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Mohamed Khaled menjelaskan, kementerian memberi jaminan penuh terhadap keselamatan pelajar Indonesia di negara ini walaupun isu ini agak menyentuh perasaan masyarakat di negara ini.

"Saya boleh memberi menjamin bahawa keselamatan pelajar Indonesia di sini tidak akan terjejas dan kita sentiasa memantau perkara ini termasuk keselamatan pelajar kita di sana," katanya.

Ketika ditanya keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia, beliau menjelaskan, sehingga hari ini tiada ancaman keselamatan dilaporkan terhadap mereka yang berjumlah kira-kira 6,000 orang sejak siri demonstrasi dilancarkan bulan lalu.

"Bagaimanapun, saya ingin menasihatkan pelajar kita di sana agar lebih berhati-hati dan tidak bertindak sebarangan sehingga boleh mencetuskan insiden yang tidak diingini," ujarnya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0929&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm&arc=hive

Tiada ulasan:

Catat Ulasan